Selasa, 29 Oktober 2013

Pemimpin PAS kepanasan dengan Azeez Rahim


Pendedahan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai sikap pemimpin Pas yang gemar memperalat ayat-ayat suci al-Quran demi kepentingan politik tetapi tidak pula mengamalkannya termasuk sanggup berbohong menggamatkan sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beberapa pemimpin Pas yang 'panas punggung' dan 'merah telinga' mendengar pendedahan itu antaranya Mohamed Hanipa Maidin (Pas-Sepang) dan Khalid Abd. Samad (Pas-Shah Alam) bangkit 'menyerang' Abdul Azeez menyebabkan berlaku pertengkaran mulut hampir 15 minit.
Semuanya bermula selepas Abdul Azeez menyelar sikap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang langsung tidak menegur perbuatan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar mempolitikkan isu ziarah bapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir iaitu Baharom Ramli, 77.
Katanya, Abdul Hadi sanggup menggunakan apa sahaja ayat al-Quran ketika mengkritik Barisan Nasional (BN) tetapi tidak pula melakukan perkara sama jika melibatkan pemimpin mereka meskipun dakwa Abdul Azeez, Mahfuz menipu dalam isu ziarah tersebut.
"Pemimpin Pas ini bila berhujah bukan main petik ayat al-Quran tapi bila pemimpin mereka menipu dalam kes ziarah ayah Jamil Khir semua membisu. Marang (Abdul Hadi) sendiri berucap tadi dengan memetik ayat al-Quran. Apakah semua ini pembohongan?" katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014.
Kenyataan itu menyebabkan Mohamed Hanipa membangkitkan Peraturan Mesyuarat ke atas Abdul Azeez menyebabkan berlaku perang mulut antara mereka sebelum Khalid turut bangun mencelah sehingga persidangan terganggu.
Meskipun keadaan berjaya diredakan seketika, perang mulut antara Abdul Azeez dan pemimpin Pas kembali tercetus selepas beliau mendedahkan pembangkang hanya pandai berceramah memburukkan kerajaan tetapi tidak tahu menyelesaikan masalah rakyat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan