Isnin, 4 November 2013

Pas kekalkan kerusi Dun Sungai Limau


YAN - Pas mengekalkan kerusi Dun Sungai Limau dengan majoriti undi berkurangan lebih separuh dalam pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini.
  
Calon Pas, Mohd Azam Abd Samat, 32, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, dengan 10,985 undi.
  
Pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei lepas, Tan Sri Azizan Abdul Razak (Pas) menang kerusi Dun itu dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 2,774 undi.
  
Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abdul Rashid Othman di pusat penjumlahan undi di Dewan Lukman Al-Hakim, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, di sini.
  
Daripada 23,249 pemilih berdaftar yang keluar mengundi hari ini, 145 kertas undi diisytiharkan rosak.
  
Dengan keputusan ini, Pas mengekalkan kerusi Dun itu sejak pilihan raya umum 1995 yang dimenangi menerusi Azizan.

Undi yang diperoleh Mohd Azam berkurangan 1,225 atau 9.2 peratus daripada jumlah undi yang diraih Azizan pada PRU13 iaitu sebanyak 13,294 undi.
 
Jumlah pemilih berdaftar yang keluar mengundi hari ini juga berkurangan 1,100 atau 4.5 peratus daripada 24,349 pada PRU13.
  
Mohd Azam yang ditemui pemberita selepas pengumuman itu mengucapkan terima kasih kepada jentera parti dan pakatan pembangkang yang membantu beliau mendapat kemenangan itu.
 
Beliau juga berjanji akan memberi fokus kepada aspek kebajikan masyarakat di Sungai Limau.
 
Ketika keputusan diumumkan, Ahmad Sohaimi dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir tidak berada di dalam dewan. - Bernama


sumber Di Sini

Tiada ulasan:

Catat Ulasan